Monday, 2 June 2014

TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam terikat dengan kemurnian akidah, kehalusan akhlak dan kemuncak pencapaian manusia beragama Islam dalam pelbagai dimensi kehidupan. Pada asasnya tamadun Islam lebih mementingkan keperibadian akhlak mulia setiap insan tanpa membezakan setiap bangsa. Kehebatan dan keunikan tamadun Islam berbanding tamadun Barat diukur dari sudut kerohaniannya. Berlaku secara realiti bahawa proses pembentukan tamadun Islam lebih tertumpu kepada aspek Materialisme sehingga melupakan sudut pemurnian spiritual umat Islam. Era kejatuhan tamadun Islam dari dulu hingga kini mula menampakkan bayangannya akibat keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Islam. Keburukan akhlak berpunca daripada kelemahan jiwa yang mengalami ketirisan akidah dan kerapuhan agama. Kerohanian yang berpusat di jiwa perlu dibajai dan dipupuk sehingga ia berupaya memanifestasikan keunggulan personaliti bangsa dalam tamadun Islam. Pembaikan akhlak boleh diurus melalui kaedah pemurnian jiwa atau psikologi yang berteraskan al-Quran dan sunnah. Psikologi berkait rapat dengan tamadun Islam kerana ia berlatar belakangkan masyarakat sosial manusia. Kejayaan sebenar bagi manusia pastinya dapat dicapai melalui kesihatan mental dan jiwa. Psikologi Islam menyediakan pelbagai cara dan antaranya ialah kaedah psikoterapi Islam. Metode ini amat diperlukan oleh setiap manusia bagi pembentukan personalitinya sebagai insan yang berkualiti di dalam segenap aspek agar mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kegemilangan sesuatu tamadun bergantung sepenuhnya kepada keperkasaan fizikal, mental, spiritual dan emosi. Sekiranya sesuatu bangsa itu tidak memiliki keempat-empat dimensi ini, maka hancurlah bangsa tersebut dan runtuhlah tamadunnya. Justeru, Muslim yang berperwatakan mulia berupaya memartabatkan tamadun Islam. Artikel ini membincangkan tentang kaedah psikoterapi Islam sebagai salah satu metode di dalam bidang psikologi Islam dalam membina manusia Muslim sebagai agen utama bagi pemerkasaan tamadun Islam ke arah menghadapi pelbagai isu pada era yang mendatang.